• Ea eam labores imperdiet, apeirian democritum ei nam, doming neglegentur ad vis. Ne malorum ceteros feugait quo, ius ea liber offendit placerat, est habemus aliquyam legendos id.
  • Ea eam labores imperdiet, apeirian democritum ei nam, doming neglegentur ad vis. Ne malorum ceteros feugait quo, ius ea liber offendit placerat, est habemus aliquyam legendos id.
  • Ea eam labores imperdiet, apeirian democritum ei nam, doming neglegentur ad vis. Ne malorum ceteros feugait quo, ius ea liber offendit placerat, est habemus aliquyam legendos id.

18 Ogos 2011

[pakbelang] Kosmo 18 Ogos 2011 ( Khamis )



 
Syabu: Pelakon didenda RM5,000
Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my
Gambar kiri, Benjy ketika ditahan pada Mac 2010 manakala kanan ialah gambar Benjy semalam.
 
KUALA LUMPUR – Pelakon Benjy, anak dramatis Azean Irdawaty boleh menarik nafas lega apabila hanya didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas satu tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram di kediamannya pada Mac tahun lalu.
Majistret Hafizza Sauni memutuskan demikian terhadap Benjy, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Artis lelaki tersebut disabit bersalah atas tuduhan memiliki 0.24 gram dadah jenis syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim yang ditemani adik perempuannya, Elza Irdalynna membayar denda tersebut.
Pelakon yang semakin berisi itu sempat berkata sesuatu kepada wartawan selepas membayar denda: "Saya lega, telah bebas dan semua berakhir, terima kasih kepada rakan-rakan atas sokongan, saya kembali."
Pada 8 Julai lalu, Benjy dilepas dan dibebas daripada satu tuduhan memiliki 0.14 gram dadah syabu di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pukul 3 petang hari yang sama.
Mentega DNA babi masih tidak diasing
Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN, MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI dan ROSLI HASSAN
berita@kosmo.com.my
MENTEGA yang mengandungi DNA babi (paling kanan) masih bercampur dengan mentega halal yang lain di salah sebuah pasar raya di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Walaupun pihak berkuasa meminta agar pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke seksyen tidak halal, namun masih ada yang tidak peduli.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya mendapati mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan tidak halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Isnin lalu masih diletakkan bersama produk halal lain di pasar raya.
Sebuah pasar raya di Jalan Cheras di sini didapati seolah-olah tidak peka dengan arahan terbabit kerana mempamerkan produk itu bersama mentega halal lain.
Selain hanya mengasingkan produk itu beberapa sentimeter dari produk halal, tiada sebarang notis tidak halal ditampal pada bahagian mentega DNA babi terbabit.
Bagaimanapun, tinjauan di empat lagi pasar raya terkemuka di Ampang, Taman Midah, Jalan Peel dan Jalan Loke Yew di sini tidak menemui produk mentega babi yang dijual pada harga RM7.99 itu.
Kosmo! semalam melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta semua pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega terbabit ke dalam rak seksyen tidak halal.
20 barang terkawal Aidilfitri
Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Kerajaan semalam menetapkan harga terkawal bagi 20 jenis barangan untuk dikuatkuasakan mulai 23 Ogos hingga 6 September ini di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2010.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, dua barang telah ditambah ke dalam senarai pada tahun ini iaitu bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China).
"Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ini dibuat berdasarkan kepada maklumat hasil pemantauan di semua daerah, pandangan agensi kerajaan berkaitan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan terlibat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, peniaga diwajibkan menjual harga barang terkawal mengikut harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan tersebut.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.
Menurutnya, individu yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.
Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM250,000.
"Mereka yang gagal meletak tanda harga merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat yang gagal melakukannya boleh didenda RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000," jelasnya.
Ismail Sabri berkata, kira-kira 2,000 pegawai penguat kuasa KPDNKK bersama 1,000 pegawai pemantauan harga akan memantau penjualan barang terkawal bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang enggan mematuhi peraturan itu diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my.
Gadis hilang ditahan peras ugut keluarga
Oleh NOR SHAFAWATI YUP
shafawati.yup@kosmo.com.my
KERATAN Kosmo! 16 Ogos 2011.
 
PUCHONG – Tembelang Ameerah Asha Azizan, 17, yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu terbongkar selepas dia ditahan polis bersama teman lelakinya kerana disyaki menipu ibu bapanya dengan merancang penculikan diri sendiri dan meminta wang tebusan berjumlah RM50,000.
Sebelum dilaporkan hilang, Ameerah Asha, pelajar tingkatan lima dikatakan tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan di Sekolah Menengah Puchong Utama 1 dekat sini pada 12 Ogos lalu.
Bagaimanapun, rancangan penculikan itu terbongkar apabila Ameerah Asha dan teman lelakinya seorang penganggur berusia 19 tahun ditahan ketika pasangan tersebut menaiki sebuah kereta di kawasan Saujana Puchong dekat sini pada pukul 9 pagi semalam.
Pada 27 Julai lalu, modus operandi sama digunakan oleh seorang pelajar wanita sebuah kolej swasta dekat Subang Jaya.
Gadis itu bersubahat dengan kekasihnya seorang lelaki Nigeria sebelum mereka meminta wang tebusan sebanyak RM1.5 juta daripada keluarga si gadis yang berada di Kuching, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, penahanan pasangan remaja itu dibuat susulan daripada panggilan ugutan seorang lelaki tidak dikenali diterima oleh bapa Ameerah Asha yang meminta wang tebusan.
"Panggilan ugutan tersebut merupakan petunjuk penting polis menyelesaikan kes kehilangan Ameerah Asha.
"Gadis itu tidak hilang sebaliknya mengikut teman lelakinya sebelum merancang penculikan untuk mendapatkan wang," kata beliau kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.
Hukum penyimbah asid setimpal
Oleh NOR IDAYU BOSRO
berita@kosmo.com.my
MUHAMMAD KHAIRUN (kiri) bertanya sesuatu kepada Mohd. Rafi di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Undang-undang sedia ada untuk menghukum penjenayah simbahan asid perlu dikemas kini supaya hukuman setimpal dengan kecacatan kekal yang dialami mangsa dapat dikenakan terhadap penjenayah terbabit.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, berdasarkan kes-kes lepas, pihak polis mengkategorikan kesalahan simbah asid di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda RM1,000 terhadap pesalah.
Tegas beliau, hukuman tersebut jelas tidak setimpal jika dibandingkan dengan kecederaan teruk dan trauma yang dialami mangsa.
"Secara peribadi, saya melihat hukuman yang dikenakan ketika ini tidak cukup tegas bagi mengekang jenayah simbahan asid yang sedang berleluasa di negara kita.
"Orang yang tidak bertanggungjawab akan terus-menerus menjadikan asid sebagai senjata mudah untuk melepaskan dendam mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa simbahan asid, Mohd. Rafi Abdul Latiff, 28, di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Besar Kuala Lumpur semalam.
Mangsa dikatakan disimbah dengan asid ketika sedang menunggu rakannya di dalam kereta di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raya Laut selepas membeli-belah persiapan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira pukul 1.10 pagi pada 8 Ogos lepas.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu melecur teruk di muka, kedua-dua belah tangan dan mata kanannya kabur kesan simbahan asid tersebut.
Sementara itu, Muhammad Khairun turut menggesa setiap pembelian asid oleh orang ramai didaftarkan supaya ia dapat direkodkan bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.
"Saya yakin melalui tindakan itu, ia akan dapat memberi persekitaran yang lebih selamat kepada komuniti," ujarnya.
Sementara itu, abang mangsa, Pegawai Staf 2 di Dasar Latihan Peperangan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Mohd. Jeffry Abdul Latiff, meminta kerajaan memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) terutamanya di kawasan awam.
"Rakaman melalui CCTV ini akan dapat membantu pihak berkuasa mengesan penjenayah," katanya.
Melecur selepas kutip mercun
Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my
MOHD. Syafiq yang melecur dan hampir putus tiga jari kanannya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU - Hari Raya Aidilfitri tahun ini menjadi pengajaran kepada seorang pelajar tingkatan satu di sini apabila tiga jarinya hampir putus manakala leher dan dadanya melecur selepas mercun bola yang dicucuh meletup di Kampung Seberang Takir dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 9 malam itu berlaku ketika Mohd. Syafiq Zuhairi Zainuddin sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya sebelum pergi ke surau untuk solat tarawih.
Mohd. Syafiq berkata, kejadian malang itu berpunca daripada kesilapannya sendiri kerana terlalu berani mengutip mercun bola yang telah dicucuh.
"Pada mulanya saya baling mercun bola itu tetapi tidak meletup. Selepas itu saya pergi kutip (mercun) semula, tiba-tiba ia meletup," kata ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Ekoran letupan itu, tiga jari kanan Mohd. Syafiq cedera teruk dan hampir putus manakala leher dan dadanya pula melecur.
Sementara itu, ibu mangsa Norayati Ismail, 34, memberitahu, sebelum kejadian, anak sulung daripada tiga beradik itu meminta kebenarannya untuk menunaikan tarawih di surau yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
"Tidak sampai sejam kemudian, seorang kawan Mohd. Syafiq menghubungi saya dan memaklumkan anak saya cedera terkena mercun," katanya.
Wanita yang bekerja sebagai tukang jahit itu berkata, anaknya kini dilaporkan stabil dan akan menjalani pembedahan kecil dalam masa terdekat bagi mengetahui sama ada jari tengah Mohd. Syafiq perlu dipotong ataupun tidak.
Pemain bola T-Team putus jari
Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my
Zuhairi menunjukkan tangan kanannya yang berbalut selepas lima jarinya tersepit mesin tebu ketika menerima rawatan di HSNZ, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Niat murni seorang pemain bola sepak Piala Presiden T-Team untuk mencari duit raya dengan berniaga air tebu di bazar Ramadan Marang di sini berkecai apabila kesemua lima jari tangan kanannya putus akibat digilis mesin tebu dalam kejadian pada 7 Ogos lalu.
Kejadian pada pukul 5.30 petang itu berlaku ketika Zuhairi Ahmad, 21, sedang sibuk memasukkan batang tebu ke dalam mesin sebelum tangan kanannya tiba-tiba tersangkut dan digilis.
Panik dengan keadaan itu, Zuhairi yang bermain di posisi pertahanan dalam pasukan Piala Presiden T-Team terus mematikan suis utama mesin itu sebelum menarik keluar tangannya yang berlumuran darah.
"Ketika itu saya masih tidak perasan yang lima jari saya telah putus, sehingga saya tarik keluar tangan kanan saya dari mesin itu," katanya ketika ditemui di wad pesakit Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Menceritakan kejadian itu, Zuhairi dari Kampung Rhu Muda, Marang memberitahu, dia berniaga air tebu di bazar Ramadan untuk menambahkan pendapatan keluarganya.
"Memandangkan musim pertandingan Piala Presiden sudah berakhir, jadi saya ambil keputusan berniaga air tebu dengan dua lagi rakan.
"Ini adalah tahun pertama saya berniaga tetapi tak sangka pula perkara ini akan berlaku. Apa yang saya risau adalah masa depan saya dalam bola sepak kerana amat sukar bermain dalam keadaan seperti ini," ujarnya.
Warga emas OKU nyaris rentung
Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my
DUA orang penduduk melihat keadaan rumah Peck Hiang (gambar kecil) yang hangus terbakar di Kampung Tanjung Che Mas, Tumpat semalam.

TUMPAT – Seorang wanita warga emas kelainan upaya yang menghidap kanser tulang nyaris rentung dalam satu kebakaran di Kampung Tanjung Che Mas di sini pagi semalam gara-gara enggan keluar dari rumah kerana sayangkan ubat, dokumen kesihatan dan peribadinya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Teo Peck Hiang, 59, yang lumpuh sebelah kiri badan, pekak dan bisu hanya duduk terpaku di kerusi di ruang tamu sambil menangis teresak-esak sebelum anak dan anak saudaranya datang menyelamatkannya.
Anaknya, Chu Ai Reen, 31, berkata, pada masa itu dia tiada di rumah kerana membeli sayur di pasar berhampiran namun segera pulang apabila diberitahu oleh anak saudaranya Hong Ee Chen, 13, yang tinggal bersama warga emas itu pada masa kejadian.
"Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, saya lihat ibu saya hanya duduk di kerusi dan menangis manakala api telah merebak menghampiri ruang tamu. Kalau saya lambat, mungkin ibu saya tidak dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Ai Reen, sebelum dia tiba, Ee Chen telah cuba mengajak Peck Hiang keluar tetapi wanita itu tidak mahu berbuat demikian sehinggalah Ai Reen datang.
"Melalui bahasa isyarat, dia risaukan ubat serta dokumen kesihatannya tapi setuju untuk keluar setelah saya mengatakan akan mengambil semua ubatnya kemudian," katanya.
Menurut Ai Reen, rumah itu didiami oleh lima orang iaitu ibu bapanya, ibu Ee Chen, Ong Kim Kee, 47, bersama dua anaknya. Namun, pada masa kejadian hanya ada Peck Hiang dan Ee Chen sahaja berada di rumah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
"Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat tiba dengan bantuan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor namun semasa tiba, 90 peratus rumah telah terbakar," katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 10 minit dengan dibantu punca air dari sungai di depan rumah mangsa.
"Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat," katanya.
Risiko hotel bajet Kuala Perlis
Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
KUALA PERLIS - Tiga daripada empat hotel bajet di sini yang menjadi tempat persinggahan bagi pelancong terutama yang mahu ke Pulau Langkawi didapati beroperasi tanpa sebarang lesen.
Pengerusi Portfolio Kacau dan Halangan Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Chan Poo Pee berkata, senario itu menyebabkan pelancong yang bermalam di hotel berkenaan terdedah kepada risiko keselamatan.
"Empat daripada tiga pengusaha hotel bajet di sini didapati menjalankan aktiviti perniagaan mereka tanpa memohon lesen daripada MPK.
"Tindakan pengusaha tersebut boleh mendatangkan bahaya dari segi keselamatan premis yang dibuat tidak mengikut spesifikasi bagi menjalankan perniagaan tempat penginapan," katanya selepas mengetuai Ops Ramadan dengan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas hotel-hotel di sekitar Kangar dan Kuala Perlis di sini pagi semalam.
Dalam operasi tersebut, sebanyak lima kompaun berjumlah RM250 dikeluarkan kepada pengusaha hotel bajet yang didapati beroperasi tanpa lesen dan tidak mempamerkan lesen mereka.
Poo Pee memberitahu, hotel bajet yang didapati tidak berlesen dalam operasi yang sama dikenakan kompaun dan arahan bagi memohon lesen perniagaan tersebut dalam kadar segera dengan MPK.
"Sejak Julai lalu, MPK telah mempercepatkan permohonan lesen perniagaan dengan kelulusan diberikan dalam tempoh sehari sahaja.
Jelasnya, tindakan pengusaha hotel bajet yang beroperasi tanpa lesen dibimbangi melakukan penambahan ruang yang tidak mengikut spesifikasi termasuk keselamatan kebakaran yang tidak disediakan di dalam premis mereka.
"Sekiranya berlaku kebakaran atau penambahan struktur yang tidak kuat boleh mengancam nyawa pelanggan di hotel bajet itu," ujarnya.
24 Kedai Rakyat 1Malaysia dibuka akhir tahun ini
KEDAI Rakyat 1Malaysia mendapat sambutan hangat pada hari pertama pembukaannya di stesen LRT Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

MELAKA - Kerajaan dijangka membuka 24 Kedai Rakyat 1Malaysia di sekitar Lembah Klang sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, daripada jumlah tersebut, empat buah kedai akan dibuka sebelum hari raya ini iaitu di Gombak, Selangor selain Cheras, Pantai Dalam dan Bandar Tun Razak masing-masing di Kuala Lumpur.
Menurutnya, baki daripada jumlah tersebut akan dibangunkan sebelum akhir tahun ini.
Kedai Rakyat 1Malaysia akan diurus oleh Mydin dan ia berkonsepkan pasar mini yang menjual barangan keperluan harian pada harga terendah dan berpatutan.
"Kerajaan dijangka membuka 60 Kedai Rakyat 1Malaysia pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai kedai berkenaan di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Sementara itu, empat buah Kedai Rakyat 1Malaysia bakal dibuka di negeri ini bagi memudahkan orang ramai membeli barangan buatan tempatan pada harga yang murah dan berpatutan.
Mohd. Ali menjelaskan, kedai itu akan diwujudkan di Kota Fesyen Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh, Selandar, Jasin dan Masjid Tanah di sini.
"Empat buah kedai itu akan dibuka dalam tempoh terdekat ini yang mana ia terlibat dalam rancangan pengembangan bagi fasa pertama," ujarnya.
Mohd. Ali menjelaskan, dengan adanya kedai tersebut ia akan mengurangkan beban rakyat dalam berbelanja sekali gus memberi manfaat besar kepada pembekal tempatan.
Kereta Skoda lebih laju berbanding Porsche 911
RICHARD 'Dickie' Meaden memandu kereta Skoda Octavia pada kelajuan 325.32 kilometer sejam di Bonneville Amerika Syarikat pada Sabtu lalu.
 
BONNEVILLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pemandu lagak ngeri, Richard 'Dickie' Meaden menjadi pemandu pertama yang memecah paras kelajuan 321.86 kilometer sejam dengan memandu kereta Skoda, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, kereta buatan Republik Czech itu kerap menjadi bahan ketawa kerana ia dianggap tidak setanding dengan jenama-jenama kereta utama di Eropah.
Namun, pihak Skoda mengambil masa selama enam bulan untuk melakukan pengubahsuaian pada kereta Skoda Octavia untuk cabaran tersebut.
Meaden memandu kereta itu dengan kelajuan 325.32 kilometer sejam dalam sesi pemanduan pada Minggu Kelajuan Bonneville di sini, negeri Utah pada Sabtu lepas.
Enjin kereta berkapasiti dua liter itu dilengkapi pengecas turbo gergasi untuk meningkatkan kuasa kenderaan itu daripada 200 kuasa kuda (bhp) kepada lebih 500bhp sekali gus lebih berkuasa daripada kereta sport Porsche 911. - Agensi
Tentera Gaddafi guna peluru berpandu Scud
GAMBAR fail menunjukkan replika peluru berpandu Scud di Muzium Memorial Perang Korea di Seoul pada 11 Ogos lalu.
 
BRUSSELS, Belgium - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengesahkan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan peluru berpandu Scud untuk kali pertama dalam perang saudara di negara berkenaan.
NATO memberitahu, peluru berpandu itu yang dilancarkan pada Ahad lalu tidak menyebabkan sebarang kerosakan.
Ia dilancarkan dari dekat Sirte, bandar kelahiran Gaddafi 500 kilometer (km) ke timur Tripoli dan mengenai kawasan 5km ke timur bandar Brega yang dikuasai pemberontak.
"Peluru berpandu Scud itu tidak mendatangkan ancaman baru," kata jurucakap tentera NATO, Kolonel Roland Lavoie dalam satu taklimat media di sini.
Scud merupakan peluru berpandu yang dimajukan oleh bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) dan digunakan oleh beberapa negara Asia Barat termasuk Iraq.
NATO melancarkan hampir 20,000 serangan udara ke atas Libya sejak penghujung Mac lalu untuk menguatkuasakan zon larangan terbang bagi mengelakkan tentera Gaddafi menganiayai rakyat biasa.
- Agensi
PlayStation 3 turun harga
PLAYSTATION 3.
 
NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat Sony Corp. menurunkan harga konsol permainan video PlayStation 3 keluarannya sebanyak AS$50 (RM148.80) dalam usaha untuk meningkatkan permintaan terhadap mesin permainan itu.
Konsol permainan tersebut kini dijual pada harga AS$249 (RM741), turun 17 peratus berbanding AS$299 (RM890).
Kali terakhir Sony merendahkan harga PlayStation 3 ialah pada 2009 apabila ia melancarkan konsol permainan video itu yang lebih ringan dan nipis.
Pengumuman penurunan harga di seluruh dunia itu dibuat kelmarin kurang sebulan selepas pesaing Sony, Nintendo Co. memotong harga konsol permainan video tangan, Nintendo 3DS.
Pemotongan harga itu diharapkan dapat meningkatkan jualan PlayStation 3 seperti yang berlaku pada 2009.
"Bukan lagi satu rahsia bahawa PlayStation 3 sukar menyaingi konsol permainan video Xbox 360 di rantau Amerika Utara walaupun jualannya lebih baik di Eropah," kata seorang penganalisis, Jesse Divnich. - Agensi
25,000 saman iPhone
iPHONE
 
SEOUL, Korea - Seorang peguam menyatakan sekumpulan pengguna yang mengandungi lebih 25,000 warga Korea Selatan kini menyaman firma Apple Inc. kerana melanggar hak persendirian mereka.
Menurutnya, pelanggaran hak persendirian itu berkaitan dengan pengumpulan maklumat lokasi pengguna telefon pintar keluaran Apple, iPhone.
Peguam itu, Kim Hyeong-seok semalam menyatakan, saman tersebut melibatkan 27,612 orang dengan setiap seorang menuntut ganti rugi sebanyak AS$932 (RM2,772).
Hyeong-seok berkata, saman itu ditujukan ke atas Apple Inc dan anak syarikatnya di Korea Selatan.
Dia mengemukakan saman serupa pada awal tahun ini dan diberikan ganti rugi AS$932.
Apple berdepan aduan dan kritikan sejak pendedahan di Amerika Syarikat bahawa iPhone menyimpan senarai lokasi menara telekom berdekatan dan pusat WiFi berhampiran lokasi ia digunakan.
Data tersebut boleh digunakan untuk mencipta peta yang merekodkan pergerakan pemilik iPhone. - AP
Ibu ditahan polis kerana khatankan anak
 
PORTLAND, Amerika Syarikat (AS) - Seorang ibu, Keemonta Peterson (gambar) diletakkan di bawah pengawasan polis selama lima tahun kerana dia mengkhatankan seorang anak lelakinya yang berusia tiga bulan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong, lapor sebuah akhbar semalam.
Peterson yang berasal dari negeri Oregon mengaku bersalah melakukan penganiayaan berunsur jenayah pada awal tahun ini.
Wanita berusia 30 tahun itu turut diarahkan menjalani pemeriksaan mental.
Sebuah akhbar tempatan, The Oregonianmelaporkan Peterson mahu anak lelakinya dikhatankan selepas dia mendapat inspirasi ketika membaca kitab Injil.
Namun, dia memutuskan untuk melakukan sendiri prosedur tersebut selepas menonton prosedur berkhatan di YouTube kerana menyangka bayinya terlalu tua untuk dikhatankan oleh doktor.
Tindakan itu menyebabkan bayinya mengalami pendarahan yang banyak dan memaksa dia menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
- Agensi
Datuk bandar letak bongkah batu di rumah bekas isteri
BONGKAH batu yang diletakkan oleh Dany Lariviere di rumah bekas isterinya di Quebec, Kanada pada Sabtu lalu.

MONTREAL, Kanada - Datuk bandar di bandar kecil Quebec disiasat polis kerana membuang sebuah bongkah batu seberat 20 tan di halaman rumah bekas isterinya pada awal Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Dany Lariviere (gambar kecil) yang merupakan Datuk Bandar Saint-Théodore-d'Acton, dekat sini, mendakwa dia meletakkan batu itu di halaman kediaman Isabelle Prévost untuk mengelakkan wanita itu daripada terus mengganggunya.
Lariviere, yang turut memiliki sebuah syarikat perlombongan menyembur tulisan pada bongkah batu itu dengan ucapan "Selamat Hari Jadi Elsa."
Dia turut menghiasi batu itu dengan riben.
"Saya perlu melakukan sesuatu agar dia berhenti mengganggu saya," katanya kepada stesen televisyen tempatan, TVA.
"Tiada batu permata cukup besar dapat memuaskan keinginannya, kini dia bertuah kerana mendapat batu paling besar dalam hidupnya," tambah lelaki itu.
Menurutnya, bongkah batu tersebut merupakan 'hadiah' kepada bekas isterinya.
Pasangan itu yang berpisah tiga tahun lalu, saling menuduh masing-masing melakukan gangguan terhadap satu sama lain.
Bekas pasangan suami isteri itu berkongsi hak penjagaan dua anak mereka. - Agensi
Remaja 15 tahun hamil anak luar nikah
 
THORNABY, Britain - Seorang remaja perempuan, Soya Keaveney (gambar) menggembirakan ibunya selepas dia hamil luar nikah ketika berusia 15 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketika usianya baru menjangkau 12 tahun, Soya Keaveney pernah beraksi untuk sesi fotografi dengan cuma memakai pakaian dalam kerana dia bercita-cita untuk menjadi seorang model.
"Saya terkejut pada mulanya tetapi kini saya sungguh teruja," kata Soya yang kini hamil 16 minggu.
"Saya merupakan wanita yang pertama akan melahirkan anak dalam kalangan rakan-rakan saya, tetapi saya tidak fikir saya dewasa dengan terlalu cepat," tambahnya.
Ibunya yang menganggur, Janis, 48, turut gembira kerana kehamilan Soya membolehkan mereka memohon rumah kerajaan yang lebih besar untuk keluarga itu termasuk anak-anaknya yang lain iaitu Coco, Ritzy, Tarot dan Jake di bawah skim kebajikan Britain.
Soya mengandungkan anak luar nikah teman lelakinya, Jake Gray, 17, hasil hubungan intim mereka pada Mei lalu.
Janis yang membenarkan Jake tinggal di rumah mereka menyatakan, anak perempuannya benci pengguguran bayi.
"Saya yakin dia akan menjadi seorang ibu yang baik dan akan mendidik anaknya dengan penuh disiplin seperti yang saya lakukan," kata wanita itu.
- Agensi
Rakam gambar kapal angkasa dari belakang rumah
GAMBAR kapal angkasa Atlantis melintasi matahari yang berjaya dirakamkan Thierry Legault.
 
EMDEN, Jerman - Seorang jurutera berusia 49 tahun dari Perancis, Thierry Legault berjaya merakamkan gambar kapal angkasa Atlantis milik Amerika Syarikat (AS) melintasi matahari dari belakang rumahnya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia merakamkan gambar itu pada 21 Julai lalu 20 minit sebelum kapal angkasa tersebut memasuki atmosfera Bumi selepas berlepas dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
THIERRY LEGAULT bersama peralatan kameranya.
 
Jurutera itu merakamkan gambar tersebut dengan menggunakan sebuah kamera yang diletakkan pada sebuah teleskop yang mengandungi penapis solar bagi menghalang cahaya matahari merosakkan peralatannya itu di belakang rumahnya dekat Emden, Jerman.
Dia berjaya merakamkan gambar itu tanpa menggunakan peralatan kamera dan teleskop yang bernilai berjuta-juta dolar semasa kapal angkasa tersebut bergerak selaju 7.8 kilometer satu saat. - Agensi
 
 
 
 
 
 
 
 
Upin Ipin terbit album raya
Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my
ALBUM Seronoknya Raya Bersama Upin & Ipin dijual pada harga RM14.90.
 
SIRI kartun animasi Upin dan Ipin boleh dikatakan telah membuka satu dimensi baharu dalam bidang animasi tempatan. Bukan sekadar di Malaysia sahaja, bahkan karakter pasangan kembar tersebut telah mencetuskan fenomena di negara jiran iaitu Indonesia.
Dihasilkan oleh syarikat tempatan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. pada tahun 2007, pada asalnya siri kartun berkenaan disiarkan bertujuan untuk mendidik kanak-kanak supaya menghayati bulan Ramadan.
Menariknya, setelah lima tahun rancangan kartun yang diminati ramai itu disiarkan di kaca televisyen, pada tahun ini kedua-dua karakter tersebut akan tampil pula dengan sebuah album raya berjudul Seronoknya Raya Bersama Upin & Ipin.
Penerbit Eksekutif, Rosmin Hashim yang ditemui pada majlis pradengar album berkenaan menyatakan ia diterbitkan menerusi kerjasama antara Les' Copaque dan Nova Music.
"Idea untuk menghasilkan album ini sudah tercetus sejak beberapa bulan yang lalu. Kemudian kami telah berjumpa dengan pihak Les' Copaque dan ternyata mereka berminat memberi persetujuan untuk ianya dihasilkan.
"Dalam album ini terdapat lima buah lagu kesemuanya, tetapi ia bukanlah lagu-lagu baharu. Sebaliknya ia adalah lagu-lagu raya yang sememangnya cukup popular dan digemari ramai ketika sambutan Aidilfitri," jelasnya.
Antara lagu-lagu raya yang terkandung di dalam album berkenaan adalah seperti Suasana Di Hari Raya (Anuar Zain & Ellina), Satu Hari Di Hari Raya (M.Nasir), Selamat Hari Raya (Saloma), Suasana Hari Raya (Sharifah Aini) dan Balik Kampung (Sudirman).
Menurut Rosmin, semua lagu tersebut telah dirakamkan sejak awal bulan Julai lalu dan ia dinyanyikan oleh Asyiela Putri Azhar yang juga merupakan pemilik suara untuk karakter Upin dan Upin.
Jelasnya lagi, tempoh selama sebulan diambil untuk menyiapkan album berkenaan sepenuhnya sebelum ia dijual di pasaran seluruh Malaysia dengan harga RM14.90.
"Apa yang menarik tentang album ini, beberapa kata-kata yang berunsur nasihat turut diselitkan pada setiap lagu. Malah, mereka yang membeli album ini juga diberi lima keping poskad Upin dan Ipin secara percuma," ujarnya.
Menurutnya, pada peringkat permulaan sebanyak 5,000 unit akan dikeluarkan terlebih dahulu dan mereka merancang untuk mengedarkan album berkenaan di Indonesia berdasarkan sambutan kartun Upin dan Ipin yang cukup hangat di negara berkenaan.
Selain album raya tersebut, Rosmin juga memberitahu, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti kedua-dua pihak turut mempunyai rancangan untuk menerbitkan album kedua Upin dan Ipin.
Ujarnya, untuk album baharu itu nanti akan memuatkan sebanyak 10 buah lagu yang merangkumi lagu baru dan lagu rakyat serta mendapat sentuhan komposer terkenal iaitu Adnan Abu Hassan.
Sementara itu, Asyiela yang turut ditemui pada majlis yang sama meluahkan rasa gembiranya kerana dapat merakamkan lagu-lagu raya untuk tatapan peminat siri kartun Upin dan Ipin.
Jelas pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 itu lagi, meskipun gembira tetapi dia turut mengakui berdepan kesukaran untuk merakamkan sebuah lagu iaitu Suasana Hari Raya.
"Sebelum ini saya tidak pernah memasuki sebarang pertandingan nyanyian dan memang seronok apabila diberi peluang untuk merakamkan lagu. Malah, saya juga teringin untuk berjumpa dengan Anuar Zain, Datuk Sharifah Aini dan Datuk M. Nasir," ujarnya yang turut meninati penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu lagi.
Christy akui sudah bercerai
HUBUNGAN Christy dan Jon semakin baik selepas mereka bercerai.
 
CHRISTY CHUNG mengakui dia sudah beberapa bulan bergelar janda. Menurut laporan media Hong Kong, aktres jelita itu membuat pengakuan terbuka bahawa dia sebenarnya sudah bercerai sejak enam bulan lalu.
Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga Christy dan lelaki yang pernah bergelar suaminya itu, Jon Yen mula diperkatakan sejak Mei tahun ini, selepas Jon meletakkan fotonya bersama yang memeluk seorang gadis misteri di hadapan bangunan Taipei 101 dalam blog miliknya.
Rentetan itu, Christy kemudian memberi reaksi terhadap foto itu dengan menulis dalam blognya yang berbunyi: "Menyayangi insan yang melayan dengan betul dan melupakan orang yang tidak melayan dengan baik."
Sejak spekulasi tersebut tercetus, Christy dan Jon dikatakan sudah tinggal secara berasingan. Apabila media yang menyedari Christy tidak lagi menyarungkan cincin perkahwinan pada jari manisnya, mereka terus bertanyakan mengenai hal itu kepada Christy yang ketika itu sekadar tersenyum dan enggan memberikan jawapan.
Namun, dalam satu temu bual dengan pihak media Hong Kong baru-baru ini, Christy mendedahkan perceraian itu tiada kaitan dengan orang ketiga. Malah katanya, Jon hidup dalam tekanan ketika menjadi suaminya kerana Christy meraih pendapatan yang lebih tinggi berbanding dirinya.
Mereka semakin kurang berkomunikasi biarpun selepas Jon menjadi pengurus kerjaya seninya dan rakan-rakan pula cuba membantu menyelamatkan hubungan mereka.
Tambah Christy, hubungan mereka bagaimanapun semakin baik selepas mereka mengambil keputusan untuk bercerai enam bulan lalu.
"Hubungan saya dan Jon menjadi semakin baik pula selepas kami bercerai enam bulan lalu. Nampaknya kami lebih sesuai menjalinkan hubungan sebagai kawan sahaja," ujar Christy.
Peniaga glamor bazar Ramadan
 
BAGAIKAN rutin tahunan, apabila tibanya bulan Ramadan kerjaya seni sesetengah artis direhatkan buat sementara waktu. Ada yang ingin merehatkan diri sambil memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah puasa.
Bagaimanapun jadual semakin padat buat beberapa orang artis seperti Enot, Didie Alias dan Bienda kerana setiap kali tibanya Ramadan, mereka bertukar kerjaya daripada artis kepada peniaga bazar di bazar larut malam Downtown Cheras, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Enot, Didie rakan kongsi
Dari jauh sudah kedengaran suara jerit pekik dua selebriti Enot dan Didie Alias cuba menarik perhatian orang ramai ke gerai mereka yang menjual kuih raya menggunakan jenama mereka sendiri iaitu Hot Test Mom.
Melihat gelagat mereka, orang ramai yang lalu lalang tersenyum sendirian tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan mereka berdua.
Menurut Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, tahun ini sudah masuk tahun keempat dia berniaga kuih raya di bazar Downtown Cheras.
Jika tahun sebelumnya, dia hanya melakukannya seorang diri tetapi tahun ini, dia berkongsi wang, tenaga dan idea bersama rakan baiknya Didie Alias.
"Selepas empat tahun saya banyak belajar daripada kesilapan yang dulu. Jadi tahun ini, saya buat sendiri semua kuih sebanyak sembilan jenis. Harga pun tidak mahal cuma RM25 sahaja.
"Saya bertanggungjawab membuat kuih, manakala Didie menjadi tukang rasa, mana kuih yang sedap dan boleh dijual. Sehingga hari ini, setiap kuih yang saya buat, dia akan rasa dulu kerana takut rasanya tidak sama, dia juga yang akan buat pemasaran," kata Enot yang turut dibantu keluarganya.
BAKRI sedang melayan pengunjung di gerainya yang menjual kaftan dan kebaya.

Sungguhpun gerai Enot dan Didie dibuka setiap hari sepanjang Ramadan bermula pukul 10 malam sehingga 4 pagi, Enot dan Didie hanya ada di gerai pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja.
Selebihnya, gerai mereka akan dijaga oleh keluarga mereka termasuk anak Didie serta pekerja.
"Hari-hari lain saya dikuarantin di dapur, kerja saya buat kuih sahaja, bukan apa kalau hari-hari di gerai, bila masa pula saya nak buat kuih.
"Ini pun saya tidak cukup tidur kerana sibuk menyiapkan tempahan dan juga kuih untuk dijual di gerai," katanya yang mencipta sendiri resipi kuih raya.
Terang Enot, kini dia semakin kurang berlakon kerana baru sahaja menamatkan pengajian pembuatan roti dan kek. Tidak lama lagi, dia bakal menyambung pengajiannya dalam bidang semburan warna ke atas kek pula.
"Saya bercita-cita mahu membuka sebuah kedai kek, jadi sekarang sebagai persediaan saya mahu menimba ilmu sebanyak mana yang boleh.
"Kalau mahu buka sekarang, saya masih tidak cukup modal kerana buka kedai kek bukan boleh kecil-kecil tetapi bukan bermakna saya tidak mahu berlakon, saya masih sukakan bidang lakonan, jadi kepada penerbit di luar sana jangan segan bagi tawaran lakonan pada saya," ujarnya dalam tawa.
Pewangi Didie
Tahun ini merupakan tahun pertama pengacara, pelakon dan pelawak Fadzilah Mohamed Ali atau nama pentasnya Didie Alias berniaga di bazar Downtown Cheras bersama Enot.
Meskipun begitu, ini bukan kali pertama Didie berniaga kerana sebelum ini, dia juga ligat berniaga ketika bulan Ramadan.
"Dulu-dulu lagi saya ligat berniaga kuih raya tetapi sebab masa itu anak masih kecil lagi, saya berhenti sekejap. Sekarang bila sudah jumpa rakan kongsi saya sama minat, saya sambung balik.
"Setakat ini, semua kuih kami buat sendiri dan syukur kuih kami telah sampai ke Singapura kerana selain Downtown Cheras, kami juga ada buka bazar di Woodlands, Singapura," tutur ibu kepada lima orang anak itu lagi.
BEINDA bersama suami, Kamarul Zariman Abdul Rahman di hadapan gerainya.

Selain kuih raya, Didie juga ligat menjual pewangi keluarannya sendiri di bawah jenama DD Perfume.
Beritahu Didie yang sinonim dengan nama Lady Gaga Malaysia itu, perniagaan minyak wangi telah diusahakannya sejak tahun lalu lagi cuma dia tidak melakukan promosi secara besar-besaran.
"Kalau rakan-rakan dan peminat, semua sudah tahu saya ada keluarkan minyak wangi jenama sendiri. Mungkin orang ramai belum tahu sebab kurangnya promosi.
"Jadi, dengan peluang yang ada ini, peminat boleh datang ke gerai kami yang terletak sebelah menyebelah antara saya, Enot dan Bienda untuk berjumpa kami dan membeli produk-produk kami," tuturnya.
Tudung Bienda
Buat penyanyi, pelakon dan pengacara Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli pula, tahun ini merupakan tahun ketiganya berniaga tudung di bazar.
Dek sambutan hangat yang diterima sebelum ini, Bienda memutuskan untuk meneruskan perniagaan tudung jenamanya sendiri itu meskipun kini sedang berbadan dua selepas melangsung perkahwinan dengan Kamarul Zariman Abdul Rahman pada Oktober tahun lalu.
"Sepanjang puasa saya tidak banyak sangat kerja, jadi fokus saya hanya untuk perniagaan sahaja. Penat memang penat, tambahan sekarang kandungan saya mencecah tiga bulan, saya juga alami alahan, tetapi nasib baik suami banyak membantu," katanya.
Jelas anak penyanyi dangdut Sheeda itu lagi, tudung jualannya berharga daripada RM10 sehingga RM20 sahaja. Disebabkan itu tudung jualannya cukup laris terjual.
"Ada di antara tudung yang dijual merupakan tudung rekaan saya sendiri, jadi tidak sama dengan tudung yang dijual ditempat lain.
"Sebenarnya saya sangat suka berniaga kerana bukan sahaja dapat menambah pendapat tetapi saya puas apabila melihat orang menghargai barang yang kita jual.
"Bagi saya, berniaga di bazar seperti ini juga merupakan platform buat saya untuk bertemu peminat kerana hanya pada bulan Ramadan sahaja mereka dapat berjumpa saya dan artis lain dengan lebih dekat," katanya yang teringin membuka empayar perniagaannya sendiri suatu hari nanti.
Selain Enot, Didie Alias dan Bienda, artis lain yang turut berniaga di bazar larut malam Downtown adalah Sheila Lama dan juga bekas pemain drum band Meet Uncle Hussain, Bakri Ismail.
Sheila Lama yang merupakan penyanyi daripada kumpulan nasyid Huda, pernah menjalankan perniagaan di bazar yang sama pada tahun lalu. Produk yang dijualnya adalah pakaian kasual wanita
Bakri yang merupakan bekas pemain drum band Meet Uncle Hussain dan kini bersama band Kugiran D' Tepi Pantai menjalankan perniagaan baju raya seperti kebaya dan juga kaftan yang diimport dari luar negara bersama keluarganya.
Sebelum ini Bakri pernah berniaga pakaian lelaki tetapi katanya wanita lebih gemar berbelanja daripada lelaki sebab itu tahun ini, dia menjual baju raya untuk wanita pula.
Penyokong punya hal, KAFA sengsara
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
GARA-GARA tindakan liar penyokong Kelantan, KAFA terpaksa menanggung bebannya.
 
DENDA lagi. Apalah dengan nasib Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang sekali lagi bakal berdepan hukuman denda.
Semuanya gara-gara sikap segelintir penyokongnya yang membaling botol dan mercun ke dalam padang pada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu, semalam.
"Dua hari lalu, KAFA telah menerima surat pertuduhan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas dua kesalahan pada perlawanan tersebut.
"Kesalahan pertama ialah melontar mercun ke dalam padang sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan dan ini merupakan satu kesalahan yang serius.
"Kesalahan kedua ialah membaling mercun dan botol ketika Kelantan memperoleh jaringan menerusi Nurul Azuwan Roya pada minit ke-79. Ini juga merupakan satu kesalahan yang membolehkan KAFA didenda," katanya.
Tambahnya, setiap kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 dan kedua-dua kesalahan yang dilakukan oleh segelintir penyokong Kelantan yang nakal itu menyebabkan pasukan bakal didenda RM20,000.
Pada perlawanan akhir itu, Terengganu berjaya bangkit untuk menumbangkan Kelantan 2-1
menerusi jaringan sendiri pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin yang tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit-minit terakhir perlawanan serta Ahmad Nordin Alias pada minit ke-109 masa tambahan.
Rosmadi memberitahu, walaupun jumlah denda itu dilihat agak kecil, namun bagi KAFA ia merupakan satu nilai yang besar.
Katanya, dengan jumlah tersebut KAFA mungkin dapat menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembangunan di peringkat akar umbi mahupun memantapkan lagi pasukan.
"Sehubungan dengan itu, saya merayu kepada semua penyokong supaya tidak mengulangi kesilapan
ini dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula 6 September ini. Kerja membakar mercun dalam stadium bukanlah perkara yang baik kerana ia akan membahayakan orang lain yang berada di dalamnya.
"Saya harap pemain dapat mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku kepada pasukan Kelantan sebelum ini dan janganlah kita membiarkan perkara tersebut berulang kembali dengan kata lain adakah kita mahu pisang berbuah dua kali," ujarnya.
Untuk rekod, sepanjang 2009-2010, Kelantan telah membayar denda kepada FAM hampir RM300,000 di atas kenakalan segelintir penyokongnya.

Wuhan, China hos Piala Thomas/Uber 2012

PUSINGAN akhir kejohanan badminton berprestij, Piala Thomas dan Piala Uber edisi 2012 akan diadakan di Wuhan, China pada 20 hingga 27 Mei tahun depan.
Setiausaha kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai, memberitahu semalam bahawa Malaysia akan menyertai pusingan kelayakan bagi benua Asia di Macau pada 14 hingga 19 Februari.
Juara bertahan Piala Thomas dan Piala Uber sekarang ialah China.
Pada edisi tahun lepas, Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan yang ada sebagai tuan rumah apabila tewas kepada pasukan China 3-0 pada peringkat separuh akhir saingan Piala Thomas.
Kali terakhir Malaysia merangkul Piala Thomas adalah pada edisi 1992 dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Piala Thomas ialah kejohanan badminton utama peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki manakala Piala Uber pula ialah acara berpasukan wanita.
Kejohanan ini berlangsung setiap dua tahun. - Bernama
 
 
 

Aksi menebus maruah

SHENZHEN - Skuad bola sepak negara masih berpeluang untuk menebus kekecewaan, sekali gus memperbaiki ranking pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011.
Begitupun, skuad bimbingan Aminuddin Hussin itu perlu menewaskan Thailand pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 di Stadium Sekolah Sukan Shenzhen petang ini.
Sekiranya menang, Malaysia pasti akan menduduki tempat yang lebih baik berbanding di kedudukan ke-12 pada temasya di Thailand, Bangkok empat tahun lalu.
Kelmarin, impian skuad negara untuk menempah slot ke suku akhir lebur selepas tewas 0-2 kepada Rusia pada aksi terakhir Kumpulan B.
Kekalahan itu adalah yang ketiga berturut-turut selepas tewas 1-2 masing-masing kepada Ukraine dan Brazil.
Bagaimanapun, Aminuddin tetap berpuas hati dengan persembahan para pemain dan menganggap ketiga-tiga perlawanan di peringkat kumpulan itu sebagai pengalaman yang cukup berguna buat pemain.
"Seperti yang dijangka, kita akan menghadapi pasukan yang terkuat dalam pasukan. Rusia adalah pasukan terkuat dalam kumpulan ini," kata Aminuddin ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.
"Tetapi kalau mengikut perkiraan, kita masih lagi bukan pasukan belasahan. Kita masih mampu mempertahankan kedudukan 0-2 itu sehingga ke akhir permainan. Pemain telah membuat yang terbaik.
"Jadi, saya menganggap ketiga-kita perlawanan ini sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi aksi yang penting selepas ini iaitu penentuan ranking kesembilan hingga ke-16."
Aminuddin berkata, sepanjang tiga perlawanan di peringkat kumpulan menentang Ukraine, Brazil dan Rusia, dia telah membuat banyak pertukaran pemain dalam usaha mengenal pasti pemain yang benar-benar berwibawa.
Katanya, para pemain tersebut akan diturunkan bagi menghadapi perlawanan penting menentang Thailand ini.
"Sasaran awal kita pada Universiade 2011 adalah untuk memperbaiki ranking. Jadi, kalau kita memenangi perlawanan ini, saya rasa ia dapat membantu kita mencapai sasaran itu.
Menurut Aminuddin, pada aksi menentang Rusia kelmarin, dia telah menurunkan beberapa pemain baharu seperti penyerang, Muhammad Afham Zulkipeli yang berjaya memberi impak pada pertemuan berdepan Brazil lalu.
"Kita ada dua penyerang yang digantung iaitu Muhamad Nursalam Zainal Abidin dan Khairul Naim Mahyuddin. Jadi, kita terpaksa gunakan pemain yang lain untuk menampung kekosongan itu.
"Namun, Amirizwan Taj Tajudin bakal diturunkan semula selepas pemain pertahanan itu tamat tempoh penggantungan."
Skuad Olimpik benam kelab Liga 1 Slovak, Dolny Kubin
SHUKOR JUSOH (kanan) antara pemain yang semakin menunjukkan peningkatan sepanjang latihan di Slovakia.

SKUAD Olimpik negara bangkit mencatat kemenangan keempat apabila berjaya menewaskan kelab 1 Slovakia, Dolny Kubin 2-0 di tempat lawan malam kelmarin, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Setelah tewas 1-4 kepada kelab Hungary, Budapest Honved minggu lalu, kemenangan tersebut menaikkan semula moral pasukan untuk menghadapi baki dua lagi perlawanan bertemu Nitra (23 Ogos) dan Levice (26 Ogos).
Pada aksi menentang Dolny Kubin itu, gol pertama skuad negara diperolehi menerusi sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit kesembilan sebelum Ahmad Hazwan Bakri meledak gol kedua pada minit ke-37.
Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee berkata, secara keseluruhan para pemain berjaya menunjukkan persembahan yang lebih kemas serta berdisplin namun konsistensi selepas ini perlu dikekalkan.
"Separuh masa pertama, kita lambat menyesuaikan corak permainan tetapi selepas gol pertama pemain bertambah yakin dan menunjukkan pergerakan yang lebih baik terutama di bahagian tengah.
"Persefahaman di antara Shukor Jusoh dan K. Gurusamy di jentera tengah telah memainkan peranan penting pada perlawanan ini.
"Tapi pada babak kedua, pemain sedikit tertekan apabila pasukan lawan mengasak untuk mendapatkan gol tetapi berjaya dikawal dengan baik barisan pertahanan," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.
Kapten, Khairul Fahmi Che Mat berjaya mengawal gawang dengan baik sepanjang 90 minit permainan sambil dibantu empat pertahanan, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Amer Saidin dan Zubir Azmi.
Selepas lima perlawanan di Slovakia, skuad negara telah mencatat empat kemenangan dan sekali tewas dengan menjaringkan lapan gol dan bolos enam kali.
Wan Zack Haikal muncul penjaring terbanyak pasukan setakat ini dengan tiga gol diikuti Ahmad Hazwan dengan dua gol dan masing-masing satu gol daripada Fandi Othman, Irfan Fazail dan Ferris Danial Mat Nasir.
Balingan Song Hwa tersangkut
SONG HWA gagal melakukan baling terbaik dalam acara kegemarannya semalam.
 
SHENZHEN - Kesilapan teknikal pada percubaan ketiga mengundang padah buat atlet baling tukul besi wanita negara, Tan Song Hwa pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011.
Pada aksi di Stadium Utama Universiade semalam, Song Hwa gagal melepasi sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir selepas melakukan balingan sejauh 56.04 meter pada saringan Kumpulan A.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos itu dilihat berpeluang untuk memperbaiki catatan peribadi terbaiknya iaitu 58.71 meter yang dicipta ketika di Kejohanan Olahraga di Hungary pada Jun lepas.
Bagaimanapun, impian itu terkubur selepas balingan ketiga Song Hwa tersangkut di jaring meskipun dia berjaya merekodkan balingan sejauh 56.04 meter pada percubaan pertama dan 56.92 meter (kedua).
"Saya tak puas hati dengan prestasi saya hari ini (semalam). Saya rasa, saya boleh meningkatkan catatan peribadi terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi saya," kata Song Hwa ketika ditemui semalam.
"Jadi, itu sahaja yang dapat saya lakukan. Prestasi saya hanya 50 peratus hari ini. Saya mungkin terlalu terburu-buru untuk melepaskan tukul besi kerana saya rasa, saya boleh buat yang terbaik."
Menurut Song Hwa, dia sedikitpun tidak berasa tertekan ketika melakukan balingan tersebut meskipun percubaan atlet lain sebelumnya turut terkandas di jaring.
"Dalam sukan seperti ini, kalau ada tekanan pun kita yang meletakkannya sendiri. Acara ini bukan seperti acara sukan yang lain. Kita hanya perlu buat teknik yang terbaik dan itu bukan satu tekanan.
"Selepas ini, saya perlu berlatih bersungguh-sungguh dalam usaha mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA 2009 di Loas."
Song Hwa yang membuat penampilan pertama pada temasya ini berazam untuk melakukan yang terbaik meskipun menyedari peluangnya sangat sukar kerana terpaksa bersaing dengan ramai atlet handalan dunia.
Sementara itu, dalam acara lari berhalangan wanita, Melinder Kaur Ragbir Singh berjaya mencatat masa terbaik tahun ini dengan catatan 11:07.64s meskipun sekadar menduduki tempat ke-10 pada saringan pusingan pertama.
Bagaimanapun, rekod itu masih jauh ketinggalan di belakang catatan masa peribadi terbaik iaitu 10:55.31s.
Manakala bagi kategori lelaki, K. Jayamaran menamatkan saringan pusingan pertama di tempat kesembilan selepas mencatat masa 9:53.68s.
Pemanah terkandas di suku akhir
PEMANAH negara tersingkir dalam acara compund sekali gus menafikan impian meraih pingat.

SHENZHEN - Pasukan memanah lelaki dan wanita yang beraksi dalam acara compound terkandas pada peringkat suku akhir Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 yang berlangsung di Lapangan Memanah Shenzhen semalam.
Pasukan lelaki yang terdiri daripada Sharir Aizat Abdul Ghani, Mohd. Kaharuddin Ashah dan Mohamed Firdaus Isa hampir mengejutkan pilihan utama dari Korea Selatan tetapi pengalaman jelas memihak kepada jaguh dunia itu sebelum kalah 16-18.
Namun, gandingan Nurhidayah Abdul Latip, Nor Hayati Al-Madihah Hashim dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh tampil dengan aksi yang lebih mengecewakan apabila gagal memberikan saingan sejak endpertama lagi kepada Mexico sebelum kalah 16-10.
Walaupun berjaya mendahului Korea Selatan 9-8 pada dua end pertama, pemanah Korea Selatan yang dibarisi Choi Yong Hee, Lihong Min dan Dongkyu Yun bangkit pada end ketiga untuk melakukan catatan sempurna dengan memungut enam mata daripada enam panahan.
Malaysia sekadar meraih empat mata pada end berkenaan bagi memberikan Korea Selatan mendahului 14-13 sebelum cabaran compound berpasukan lelaki negara tamat dengan kekalahan 16-18 di endterakhir.
Menganggap mereka sudah mencuba sedaya upaya untuk menang, Firdaus berkata, mereka tidak langsung berasa gugup malah berkeyakinan untuk menewaskan Korea biarpun sedar dengan reputasi pemanah-pemanah dari benua Asia Timur itu.
"Kami tahu Korea merupakan pasukan pilihan untuk mendapat emas di sini namun kelebihan itu tidak mengundang rasa takut," katanya.
Bagi pasukan wanita, Nurhidayah yang cemerlang pada acara individu sebelum ini apabila layak ke suku akhir mengakui rasa terkilan kerana gagal mempamerkan prestasi sebenar pada aksi semalam apabila hanya mampu mengutip satu mata dalam empat end.
"Ini pertama kali saya diletakkan sebagai pemanah terakhir dan kebiasaannya saya menjadi pemanah kedua. Saya ada rasa kekok," katanya.
Chong Wei mampu tawan dunia
Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my
"PELUANG Chong Wei belum berakhir lagi." Itu respons Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj.
Meskipun gagal membawa pulang gelaran juara pada Kejohanan Badminton Dunia 2011, ia bukan bermakna segala-galanya sudah berakhir buat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.
Sebaliknya, kegagalan tersebut seharusnya dijadikan pengajaran berguna buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu bagi memperkemaskan semula rentaknya menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London.
Pada aksi final yang berlangsung di Arena Tertutup Wembley, London Ahad lalu, Chong Wei sekali lagi kempunan untuk menggenggam gelaran juara dunia apabila tewas di tangan seteru utamanya, Lin Dan dari China 22-20, 14-21, 21-23.
Bagaimanapun, James Selvaraj mahu Chong Wei segera melupakan kegagalan pada kejohanan dunia itu bagi memberikan tumpuan pula pada Sukan Olimpik 2012.
Bagi James, apa yang perlu dilakukan pemain No. 1 dunia itu ketika ini adalah menanamkan tekad untuk menebus kembali kehampaan tersebut dan sekaligus membalas dendam ke atas Lin Dan di bumi London kelak.
"Nasihat saya kepada Chong Wei, dia perlu kuatkan semula semangatnya.
"Dia perlu tanamkan tekad dalam hati dia bahawa dia akan membalas dendam ke atas Lin Dan yang telah menewaskannya pada perlawanan akhir kejohanan dunia pada Sukan Olimpik nanti.
"Segala-galanya kini terpulang kepada Chong Wei. Jika dia mahu memenangi pingat emas Sukan Olimpik, dia perlu bekerja keras bermula daripada sekarang namun sekiranya dia tidak mahu saya tidak boleh kata apa-apa.
"Saya bersama jurulatih (Rashid Sidek dan Tey Seu Bock) hanya boleh membuat perancangan untuk mempersiapkan dia bagi menghadapi Sukan Olimpik. Selebihnya, ia bergantung kepada Chong Wei sendiri," kata James ketika dihubugi Kosmo! semalam.
Meskipun mengakui bahawa faktor usia mampu menjadi penghalang buat Chong Wei untuk merealisasikan impian rakyat Malaysia menyaksikannya memenangi pingat emas di London kelak namun James tetap optimis dengan kualiti serta kemampuan jaguh negara itu.
"Chong Wei akan mencecah usia 30 tahun pada tahun depan dan ini pasti akan menjejaskan tahap kecergasannya.
"Sebab itu, Chong Wei tidak mempunyai pilihan selain menggandakan latihannya dan dia kena berkorban jika mahu memenangi pingat emas Sukan Olimpik.
"Saya akan bincangkan perkara ini dengan Rashid dan Seu Bock serta ISN (Institut Sukan Negara) bagi merangka kaedah terbaik untuk mengekalkan tahap kecergasan Chong Wei biarpun dia sudah semakin berusia," jelas James.

Arsenal temui rentak

LONDON - Meskipun kehilangan khidmat bintang Sepanyol, Cesc Fabregas, Arsenal masih mampu membuktikan kualiti yang ada dalam barisan pemain sedia ada.
Buktinya, skuad kendalian Arsene Wenger itu melakar kemenangan 1-0 ke atas kelab Itali, Udinese pada aksi pertama pusingan pertama playoff saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Hanya selepas 24 jam Fabregas sah menjadi milik Barcelona, barisan The Gunners tampil dengan aksi penuh bertenaga bagi memastikan mereka layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini.
Pada aksi di Stadium Emirates itu, Arsenal tidak pelu menunggu lama apabila pemain sayap, Theo Walcott meledak gol kemenangan hasil hantaran Aaron Ramsey seawal minit keempat.
Biarpun hanya mencatatkan kemenangan tipis, namun ia tetap dianggap sebagai bekalan terbaik buat Arsenal yang akan berkunjung ke Itali untuk aksi kedua minggu depan.
Tanpa kehadiran Wenger yang digantung daripada duduk di bangku simpanan pemain, Ramsey telah menggantikan tempatnya ketika sesi sidang media awal pagi semalam.
"Fabregas merupakan seorang pemain yang hebat untuk kelab ini (Arsenal). Kami memang merasai kehilangannya, tetapi kami juga telah memberikan aksi terbaik kami pada perlawanan hari ini (awal pagi semalam).
"Apa yang penting adalah kami berjaya mencatatkan kemenangan dan tidak dibolosi.
"Kami percaya, kami juga mampu menewaskan Udinese pada aksi kedua di Itali nanti," kata Ramsey.
Jurulatih Udinese, Francesco Guidolin berkata, kegagalan barisan pemainnya memanfaatkan peluang yang dimiliki telah mengundang padah kepada mereka.
"Kami gagal memanfaatkan semua peluang yang ada, tetapi peluang untuk mara ke pusingan berikutnya masih lagi terbuka. Saya yakin kami mampu mara," jelasnya. - AFP

Man. United dapat untung paling besar

LONDON - Barcelona dan Manchester United masing-masing memperoleh 50 juta euro (RM213 juta) selepas melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara musim lalu.
Menurut Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), secara keseluruhannya, sebanyak 754.1 juta euro (RM3 bilion) telah diberikan kepada kesemua 32 pasukan yang beraksi pada kempen berprestij di Eropah itu musim lalu.
Jumlah itu adalah hasil daripada bayaran yang diterima daripada saluran televisyen dari seluruh dunia yang menayangkan aksi Liga Juara-Juara secara langsung.
United mendahului senarai penerima tertinggi dengan jumlah 53.2 juta euro (RM226.95 juta).
Skuad The Red Devils itu menerima kira-kira 27 juta euro (RM115 juta) hasil persembahan mereka, manakala 25.9 juta euro (RM125.8 juta) menerusi saluran televisyen.
Walaupun muncul juara selepas membenam United 3-1 pada aksi final di Wembley, Barcelona hanya memperoleh 51 juta euro (RM217 juta).
Biarpun menerima 30.7 juta (RM130 juta) berdasarkan persembahan, namun Barcelona hanya mengumpul 20.3 juta (RM87 juta) daripada saluran televisyen.
Antara pasukan lain yang turut memperoleh keuntungan tertinggi termasuklah Chelsea, Schalke 04, Real Madrid, Inter Milan, Bayern Munich dan Tottenham Hotspur. - Reuters
Sneijder sedia potong gaji asal
SNEIJDER tetap berhasrat meninggalkan Inter untuk menyertai Manchester United.
 
LONDON - Perancang Inter Milan, Wesley Sneijder sanggup mengurangkan bayaran gaji semata-mata mahu beraksi bersama juara Liga Perdana England, Manchester United.
Bulan lalu, United telah menawarkan kontrak kepada Sneijder dan Inter bersedia untuk menjual pemain yang berusia 27 tahun itu dengan nilai £35 juta (RM170 juta).
Tidak lama kemudian, Sneijder telah menuntut bayaran gaji berjumlah £200,000 (RM973,000) seminggu.
Bagaimanapun, The Red Devils tidak bersetuju mengenai syarat-syarat gaji yang diminta oleh Sneijder.
Ekoran itu, Sneijder mula risau apabila United masih belum mengemukakan tawaran baharu selepas permintaan gajinya yang terlalu mahal.
Dia mula menimbangkan semula tuntutannya itu kerana khuatir United tidak mampu mengikut apa yang diminta, sekali gus menggagalkan hasratnya untuk berhijrah ke Old Trafford.
Justeru, bekas pemain Real Madrid ini sanggup mengurangkan gajinya sebanyak £60,000 (RM291,905) seminggu menjadi £140,000 (RM683,300).
Sekiranya perpindahan itu berjaya, Sneijder bakal menjadi pemain kedua United menerima bayaran gaji tertinggi selepas Wayne Rooney yang menerima £250,000 (RM1,216,300) seminggu.
- Agensi

0 ulasan:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by netdohoa | Support for this Theme dohoavietnam